Macam baru semalam aku saksikan persahabatan mereka disulami dengan gelak tawa, tanpa sedikit bayangan apa yang bakal mereka tempuhi 10 tahun lagi. Macam tidak percaya 10 tahun kemudian itu dipenuhi dengan cabaran yang maha dahsyat, yang aku tidak dapat gambarkan betapa cekalnya mereka untuk menghadapinya.
Tetapi itulah lumrah. Manusia dihujani ujian yang tidak disangka-sangka. Allah yang Maha Bijaksana telah sebaik-baiknya mengatur jalan cerita setiap manusia, ujian-ujian yang perlu dilalui - dan inilah yang mendewasakan kita semua.
Melihat rakan-rakan sepermainan ditimpa pelbagai dugaan membuat kita berasa simpati, dan lebih berhati-hati dalam setiap keputusan hidup. Kita juga lebih bersyukur dan menghargai mereka yang sentiasa berada di sisi.
Macam tidak percaya lagi cabaran-cabaran getir ini sebenarnya boleh terjadi. Acapkali hanya ditonton di televisyen, hari ini ia berlaku di depan mata. Masih bersyukur lagi kerana tidak terkena batang hidung sendiri. Namun, mulut tidak boleh putus berdoa agar dilindungi rahmatNya - rahmat kesihatan, pengetahuan, harta benda, ahli keluarga, pangkat, maruah, iman dan semua jenis rahmat yang tidak tersenarai banyaknya.
Alhamdulillah, Alhamdulillah ya Allah kerana masih memeliharaku daripada segala bala bencana. Apalah segala ujian yang aku hadapi jika mahu dibandingkan dengan individu-individu cekal yang lain. Alangkah sayangnya Allah pada mereka kerana diuij sedemikian rupa.
Semoga dengan segala dugaan yang diturunkan, terhapuslah segala dosa kecil dan besar penerimanya. Semoga dengan ujian ini, hati-hati kami semakin kukuh dengan iman kepadaMu - kerana Allah lah sebaik-baik perancang.
No comments:
Post a Comment